Tuesday, February 7, 2017

Harga Satu Pilihan


Hari ini.. sebaik sampai ofis, duduk sahaja di kerusi..pintu bilik telah diketuk oleh seorang staf bertanya tentang rombakan pengurusan yang baru kerana jabatan baru sahaja melantik 2 orang ketua kursus yang baru. Sebaik saya selesai, telefon berbunyi. Melihat kepadanya saya tahu panggilan daripada seorang kawan yang jauh... selalunya bercakap setahun sekali untuk ucapan hari lahir sahaja. Seperti biasa saya akan bertanya urusan apakah yang membawa dia menelefon saya di keheningan pagi. Dia menyatakan sudah lama tidak mendengar dan melihat berita saya. Saya katakan saya ada cuma sibuk dengan urusan jabatan. Selalu juga dia membimbing tentang polisi-polisi semasa dan menasihati saya supaya kerja berpada-pada. Saya faham bila dia katakan ..jika kita sakit, orang akan ambil tahu sebulan sahaja. Saya katakan padanya, saya akan menguruskan jabatan dengan sebaiknya di samping menjaga kesihatan saya. Saya minta dia mendoakan agar saya sihat hingga ke akhir usia. Dia memang seorang yang sangat baik sejak mula saya mengenalinya.

Hari ni juga, saya menelefon seorang kawan mengucapkan "Happy Belated Birthday". Terukkan... Saya katakan padanya saya tidak lupa cuma kesibukan macam- macam urusan. Sedih bila dia katakan, "Aku buat-buat lupa hari lahir aku...". Saya ulangi maaf. Selepas bertanya khabar keluarga dan kerja, kami akhiri dengan ingatan menjaga kesihatan masing- masing. Puashati dapat mengucapkannya biar terlewat 2 hari dari tarikhnya.

Selepas habis kelas jam 6 ptg, saya menerima panggilan telefon daripada seorang kawan yang lain pula, bertanya khabar, kerja dan urusan perkhidmatan. Banyak yang kami bincangkan berkaitan kenaikan gred dan tugas semasa yang tidak ketahuan. Semua mesti dirancang dengan sebaik mungkin. Seperti tertusuk hati bila dia katakan saya akan naik gred dahulu berbanding dia. Saya katakan padanya, "kita tengok apa yang boleh kita lakukan bersama-sama nanti". Suatu masa dahulu, dia pernah berkata tidak terkejar pencapaian saya. Saya katakan pula kepadanya, dia belajar tinggi dan punya gelaran sedang saya tiada apa-apa. Ketika dia sibuk belajar, saya mengumpul pengalaman sebanyaknya.

Hidup ini, kita tidak akan dapat memiliki semuanya sekali. Ada perkara yang terpaksa kita tinggalkan mengikut kepentingan. Setiap pilihan punya harga tersendiri... cuma sanggup atau tidak sahaja menghadapinya. Terkadang seumur hidup ia menjadi mimpi paling ngeri. Teringat saya satu pepatah "ucapan yang baik umpama kunci...mampu menutup mulut tetapi boleh membuka hati". Saya amat berharap agar dia tidak akan membuat perbandingan sebegitu lagi.

Dalam situasi tidak ketahuan seperti ini dengan bermacam-macam cabaran kerja yang terpaksa dihadapi, saya fikir ingatan dan doa daripada semua sangat membantu menguatkan hati. Terima kasih :)

No comments:

Post a Comment